Tuesday, March 8, 2011

Proton Inspira R3 Kejutan 2011 ???


Proton Inspira bukan saja mendatangkan keterujaan kepada bakal pemiliknya, malah kepada mereka yang bercita-cita untuk memiliki sebuah kereta berprestasi tinggi seperti Mitsubishi Evolution 10 a.k.a Evo X. Memandangkan harga sebuah EVO X tidak terjangkau oleh kebanyakan daripada kita, maka Inspira adalah suatu platform yang sesuai untuk dinaik taraf sebagai replika model tersebut. Walaupun penukaran enjin mungkin tidak akan berlaku, namun kosmetik luaran adalah jalan penyelesaiannya yang paling ‘simple’ dan popular.
Memandang jauh ke hadapan, divisyen perlumbaan dan bahagian pembangunan prestasi kereta Proton, Pasukan Proton R3 dijangkakan (sudah semestinya) akan membangunkan model dinaik taraf Proton Inspira, mungkin akan dikenali sebagai Proton Inspira R3. Berita ini adalah sesuatu yang amat ditunggu-tunggu oleh penggemar kereta berprestasi tinggi, malah berita lebih baik mungkin berkenaan Proton Inspira akan dinaik taraf oleh R3 dan Lotus, sama seperti apa yang mereka lakukan terhadap Proton Satria Neo Lotus R3 Racing.
Jadi jika anda mempunyai bajet hampir kepada RM150k, anda sepatutnya menunggu model itu dikeluarkan pada tahun ini. Tetapi bagaimanakah rupa bentuk luaran dan dalaman sebuah Proton Inspira R3?Mungkinkah akan meminjam reka bentuk dan gaya sebuah Evo X? Team R3 Proton diakui mempunyai kemampuan dalam mereka bentuk kembali Proton Inspira dengan rupa yang lebih garang dan pantas. Prestasi enjin 4B10 dan 4B11 dengan bantuan sistem MIVEC hasil sentuhan R3 sudah pasti tidak akan mengecewakan, apatah lagi dengan bantuan dari Lotus.
Jadi sehingga sekarang, Proton Inspira akan menjadi satu lagi model legenda keluaran Proton yang akan bertahan dalam tempoh yang lama selepas pelancaran pada 10 November  lepas. Lupakan sebarang kritikan terhadap Inspira, kerana apabila sebuah Inspira R3 atau Inspira Evo X menjalar di jalan raya nanti, sudah pasti ramai yang menyimpan angan-angan untuk memilikinya. Proton telah membuat pilihan yang tepat apabila bekerjasama dengan Mitsubishi untuk mengeluarkan Inspira. Tiada apa yang tidak kena dengan Inspira. Nantikan ketibaan Proton Inspira R3 pada tahun 2011 ini.

No comments:

Post a Comment